LAPORAN PROJEK KHAS
PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT
KADET REMAJA SEKOLAH
“HULURKAN TANGAN, RINGANKAN BEBAN”
Tarikh : 4 Julai 2009 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi hingga 5.30 petang
Tempat: Rumah Perlindungan Rahoma
No 45, Jalan 2/5A,
Taman Melati,
53100 Kuala Lumpur.
Objektif:
1. Memupuk perasaan kasih sayang dan prihatin kepada insan yang memerlukan.
2. Membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka.
3. Memperolehi pengalaman yang berharga merasai kesusahan yang dialami oleh mereka.
4. Memotivasikan mereka untuk lebih bersemangat menghadapi kehidupan yang serba mencabar.
5. Berkongsi ilmu untuk mempelajari teknik belajar yang lebih berkesan untuk kecemerlangan akademik.
6. Beramah mesra dengan mereka melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Seramai 31 orang peserta KRS dan 3 orang guru penasihat telah bertolak ke Rumah Perlindungan Rahoma. Kami bertolak kira-kira pada pukul 7.15 pagi dan tiba pada pukul 7.50 pagi. Setiba di sana kami telah disambut baik oleh Pengurus, Puan Rozita dan anak-anak yatim Rumah Perlindungan Rahoma.
Acara dimulakan pada pukul 8.00 pagi dengan melakukan aktiviti pertama iaitu senaman bersama-sama anak-anak Rahoma. Kemudian diikuti dengan sesi suaikenal. Dalam sesi ini setiap peserta perlu memperkenalkan diri masing-masing. Peserta KRS mahupun Rahoma telah memberikan kerjasama yang baik dan dapat berkomunikasi antara satu sama lain.
Aktiviti seterusnya ialah ceramah motivasi yang dikendalikan oleh Puan Nor Rainah yang merupakan kaunselor di SMK (P) Methodist, KL. Pada sesi ini, peserta didedahkan dengan cara-cara belajar yang berkesan. Sesi ini bertujuan meningkatkan motivasi peserta khususnya anak-anak Rahoma. Anak-anak Rahoma telah diberi peluang untuk berkongsi cerita dan pengalaman dalam sesi ini. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berkomunikasi dan berhadapan dengan orang lain.
Selepas ceramah motivasi, peserta diberi masa 30 minit untuk minum pagi. Selesai minum pagi, acara diteruskan lagi dengan aktiviti dalam kumpulan. Aktiviti ini bertujuan mengeratkan hubungan antara setiap peserta dan memberi kesempatan kepada mereka untuk beramah-mesra. Dalam aktiviti ini, peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan hendaklah gabungan daripada KRS dan anak-anak Rahoma. Mereka perlu menyiapkan poster yang mengambarkan tentang kumpulan masing-masing. Disamping poster, mereka juga dikehendaki menyediakan satu persembahan. Hasil setiap kumpulan dibentangkan dalam sesi pembentangan. Ketika aktiviti ini dijalankan, dapat dilihat setiap peserta bekerjasama, saling bantu-membantu dan menunjukkan semangat satu kumpulan.
Pada pukul 1.00 petang, acara dihentikan untuk makan tengah hari dan solat berjemaah. Selepas solat, peserta diberikan tazkirah oleh Ustazah Azamah yang juga merupakan seorang sukarelawan. Sesi ini bertujuan memberi bimbingan rohani kepada setiap peserta program dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Selesai tazkirah, pada pukul 2.30 petang, peserta dikehendaki bersedia untuk aktiviti permainan. Aktiviti dikendalikan oleh KRS yang diketuai Saudari Wan Syazwani. Peserta dibawa ke taman permainan berdekatan dan mereka kekal dalam kumpulan masing-masing. Dalam aktiviti ini, mereka telah bermain beberapa jenis permainan seperti bawa bola guna gelung, botol beracun dan pancing botol. Ketika aktiviti ini berlangsung, dapat dilihat keakraban terjalin antara pelajar-pelajar KRS dan anak-anak Rahoma. Permainan berakhir pada kira-kira pukul 3.45 petang.
Selepas permainan, acara diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sumbangan. Tetamu jemputan daripada Syarikat UniAsia Life Assurance iaitu Encik Raymond Lew (Chief Officer of Bank Assurance & Alternative Distribution), Encik Latiff dan Puan Wati telah hadir untuk memeriahkan lagi acara pada petang tersebut. Turut hadir pada majlis ini ialah Puan Tan Suah Lee (Penolong Kanan 1) dan Cik Low Mai Keok (Penolong Kanan Kokurikulum) daripada SMK (P) Methodist, Kuala Lumpur.
Encik Raymond Lew telah menyampaikan sumbangan bagi pihak Syarikat UniAsia sebanyak RM2000.00 dan 37 set mewarna kepada Rumah Perlindungan Rahoma. Sumbangan ini telah diterima oleh Timbalan Pengerusi Rumah Perlindungan Rahoma sendiri iaitu Puan Rubiah binti Mohd Nor. Sumbangan lain turut juga disampaikan oleh Puan Tan Suah Lee dan Cik Low Mai Keok sebagai wakil sekolah SMK (P) Methodist, Kuala Lumpur. Sumbangan tersebut berupa wang tunai RM1250.00 kepada anak-anak Rahoma, RM1000.00 kepada Rumah Perlindungan Rahoma, hamper dan barangan keperluan asas.
Program ini telah diakhiri dengan sesi bergambar di antara Warga Rumah Perlindungan Rahoma bersama-sama tetamu jemputan daripada Syarikat UniAsia Life Assurance dan Warga SMK (P) Methodist, KL. Selesai sesi tersebut, semua dihidangkan dengan minum petang dan bersurai. Majlis telah berakhir pada kira-kira pukul 5.30 petang.
Well Done! Keep up your good effort of caring & sharing.
ReplyDeletePls upload some pictures to shara with others!